PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai hanya selangkah lagi untuk bergelar juara Terbuka China berstatus 1,000 sekali gus berpeluang mencatat kejuaraan hatrik pada tahun ini.
Soon Huat-Shevon sebelum ini telah meraih dua gelaran menerusi Terbuka Switzerland (Super 300) dan Malaysia Masters (Super 500).
Begitupun, sasaran itu tidak mudah untuk dicapai kerana mereka perlu menjinakkan satu lagi pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di pentas final yang akan berlangsung hari ini.
Berdasarkan prestasi semasa pasangan negara itu di Terbuka China, terutama selepas mengejutkan pemain No.2 dunia dan juga wakil dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di suku akhir peluang mereka tampak cerah.
Keyakinan itu dibawa pada perlawanan separuh akhir dengan menewaskan Cheng Xing-Zhang Chi 21-18, 21-18 di Gimnasium Xincheng semalam sekali gus memberi petanda positif untuk mereka.
Sementara itu, Shevon berkata beliau tidak pernah merasai pengalaman berada di pentas akhir sebanyak tiga kali dalam satu musim dan kejayaan mara ke final kejohanan berstatus Super 1,000 itu adalah yang pertama dalam kariernya.
“Untuk berada di pentas final buat kali ketiga musim ini, saya tidak pernah mengalaminya.
“Ia pengalaman yang menakjubkan buat kami. Saya amat berterima kasih kepada pasangan saya yang sentiasa mampu bersabar dan memahami antara satu sama lain.
“Impian saya untuk berada di pentas akhir Super 1,000 sangat bermakna. Ini impian pertama saya dan mahu merebut gelaran kejuaraan ini,” kata Shevon yang telah berpasangan dengan Soon Huat selama tujuh tahun.
Jika bergelar juara, beregu campuran profesional negara itu bakal membawa pulang wang tunai sebanyak USD 148,000 (RM636,622).
Dalam pada itu,, seorang lagi wakil negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut mara ke final selepas menewaskan beregu Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14,24-22.