Soekarno bukan pengkhianat bangsa - Utusan Malaysia

Soekarno bukan pengkhianat bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia secara rasmi menarik balik Keputusan (TAP) MPRS Nombor 33 Tahun 1967 yang pernah digunakan untuk melucut kuasa pemerintahan daripada Presiden Soekarno.

Keputusan tersebut sebenarnya tidak berlaku sejak tahun 2003, namun pencabutan secara rasmi dilakukan pada Isnin melalui penyerahan surat pencabutan kepada keluarga bekas Presiden Pertama Indonesia itu.

Surat tersebut diserahkan secara langsung kepada putra sulung Soekarno, Guntur Soekarnoputra, dalam sebuah acara yang diadakan di bangunan MPR, Jakarta Pusat.

Turut hadir menyaksikan penyerahan surat tersebut adalah anak-anak Bung Karno yang lain, termasuk Megawati Soekarnoputri, Sukmawati Soekarnoputri, dan Guruh Soekarnoputra.

Ketua MPR RI, Bambang Soesatyo berkata bahawa keputusan tersebut kini telah dibuang secara rasmi dan tidak lagi mempunyai kuasa hukum.

Langkah ini dianggap penting bagi memperbaiki kedudukan sejarah dan memperteguh keadilan bagi seorang tokoh yang telah berjasa besar dalam sejarah negara.

Menurut Bambang Soesatyo, pihak MPR akan menjalankan sosialisasi pencabutan TAP ini secara besar-besaran sebagai usaha untuk memulihkan nama baik Soekarno yang selama ini tercemar dengan tuduhan pengkhianatan.

Sementara itu, Guntur Soekarnoputra, anak pertama Soekarno, menjelaskan keluarga dan seluruh rakyat Indonesia yang mencintai Bung Karno telah menanti lebih 57 tahun untuk melihat negara berlaku adil terhadap bapanya.

Beliau menegaskan walaupun keluarganya memahami setiap presiden pasti akan mengalami berakhirnya masa kuasa, mereka tidak dapat menerima tuduhan Soekarno telah berkhianat kepada negara dengan menyokong Gerakan 30 September 1965 (G30S) yang dipimpin oleh PKI.

Guntur yang mewakili keluarga besar Soekarno berterima kasih kepada MPR dan semua pihak yang terlibat dalam usaha memulihkan nama baik Soekarno. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya