PETALING JAYA: Jangkaan dan harapan pastinya mula diletakkan kepada skuad bawah 19 negara (B-19) selepas menyaksikan kejayaan mereka menewaskan pasukan pilihan, Oman 2-1 dalam aksi sulung Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2025 kelmarin.
Bagaimanapun, apabila dua perkara itu mula diletakkan semestinya tekanan mula menyelubungi skuad kendalian Juan Torres Garrido yang dijadual menentang Korea Utara di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan, hari ini.
Mengulas lanjut mengenainya pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim percaya bantuan daripada pakar psikologi dalam pasukan ketika ini amat diperlukan bagi memastikan mentaliti pasukan berada di tahap terbaik.
“Satu permulaan yang baik buat pasukan negara apabila berjaya menewaskan pasukan pilihan. Pujian wajar diberikan kepada mereka untuk kejayaan ini.
“Saya percaya motivasi dan semangat pemain pada ketika ini berada di tahap terbaik namun pada masa sama sudah tekanan sudah tentu dirasai apabila harapan dan jangkaan yang lebih tinggi sudah mula diletakkan ekoran kejayaan menewaskan Oman.
“Saya percaya pakar psikologi dibawa bersama untuk membantu pemain mengawal kebimbangan mereka. Taktikal dan teknikal pemain bukan menjadi isu kerana itu sudah dibuktikan. Psikologi pemain perlu dibantu untuk dikawal dengan baik agar mereka tidak tertekan dengan kemenangan Oman,” katanya.
Dua gol Malaysia masing-masing dijaringkan Moses Raj dan Haykal Danish Mohd Haizon masing-masing pada minit ke-30 dan minit ke-65 manakala jaringan tunggal Oman diperolehi menerusi penalti Majid Al Farsi pada minit ke-87.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan menentang Korea Utara, Zulakbal percaya pihak lawan mempunyai elemen kejutan untuk dipamerkan malah teruja untuk bertemu skuad negara.
“Kebiasaannya tidak banyak maklumat diperoleh mengenai Korea Utara jadi saya menjangkakan mereka ada elemen kejutan malah lawan lebih bersemangat untuk menewaskan pasukan negara yang sebelum ini berjaya mencipta kejutan ke atas Oman,” katanya.-UTUSAN