PETALING JAYA: Berdasarkan kiraan matematik, adalah mustahil untuk melihat skuad bawah 19 (B-19) negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2025 dengan menempatkan diri sebagai lima pasukan terbaik di peringkat kelayakan kejohanan tersebut.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido berdepan misi wajib menang ketika menentang Tajikistan kelmarin namun gawang pasukan negara dibolosi pada masa tambahan di babak kedua sekali gus menyebabkan mereka tewas 1-0.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata adalah sukar untuk melihat skuad negara menempatkan diri dalam lima pasukan di tempat kedua terbaik selepas Korea Utara sudah pun layak ke pusingan akhir selaku juara Kumpulan E.
“Secara matematiknya memang sukar kerana kita mengharapkan keajaiban untuk berlaku. Berdasarkan kepada situasi sekarang, perlawanan menentang Sri Lanka pada 29 September ini sekadar pelengkap jadual.
“Kebiasaannya aksi terakhir tidak diambil kira untuk menentukan lima pasukan kedua terbaik. Hanya dengan kemenangan ke atas Tajikistan sahaja yang membolehkan kita berpeluang layak ke pusingan akhir. Malangnya, ia tidak berlaku.
“Bagaimanapun, daripada fikir layak atau tidak saya berpendapat adalah lebih baik untuk barisan kejurulatihan fikir apa perancangan pada masa depan pasukan ini. Mereka boleh bermain dengan baik malah corak permainan yang dipamerkan berkualiti,” katanya.
Pada aksi itu, jaringan di hujung babak kedua Khushkatov Dzhovidon membolehkan Tajikistan menghuni tangga kedua dengan enam mata di belakang Korea Utara yang sudah mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E dengan 10 mata.
Meskipun mampu mengesahkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan E jika menewaskan Sri Lanka sambil mengharapkan Oman menewaskan Tajikistan pada aksi terakhir, namun itu tidak cukup untuk Malaysia mara selaku lima naib juara terbaik.
Ini kerana kemenangan ke atas Sri Lanka tidak akan dikira dalam penentuan lima naib juara terbaik dan itu meninggalkan Malaysia dengan peluang sukar apabila hanya mengutip empat mata.
Hanya juara kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua sahaja yang layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2025 yang akan diadakan di China pada 6 hingga 23 Februari depan.-UTUSAN