PETALING JAYA: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila anak lelakinya, Muhammad Afwa sudah mula menghafal surah lazim.
Menurut Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, dia terkejut apabila putera kesayangannya itu berulang kali membaca Surah Al-Asr sebelum tidur menerusi sebuah hantaran video di Instagram.
Terharu dengan momen tersebut, penyanyi lagu Nadi itu turut mendoakan agar Afwa dikurniakan hati yang terang serta dapat membaca dan menghafal surah dengan mudah.
“Semalam, sebelum tidur ajak Afwa baca al-fatihah dan doa tidur, tiba-tiba dia ulang-ulang surah Al-Asr , ibu pun cepat cepat record.
“Masya-Allah , Tabarakallah. Semoga Allah terangkan hati , lancarkan bacaan dan hafazan Al Quran anak ibu Muhammad Afwa. Terima kasih juga cikgu,” kongsinya.
Sementara itu, rata-rata peminatnya turut meluahkan rasa teruja apabila mendengar bacaan si cilik itu menerusi ruangan komen.
“Comelnya dengar suara dia,” komen peminatnya.
“Comelnya, geram tau dengan suara Afwa. Bagus, Afwa!,” komen seorang lagi peminatnya.
“Alhamdulillah, bijaknya Afwa!,” puji seorang peminatnya. -UTUSAN