Shahmim, Wan Nur Azri intai emas untuk Kelantan di Para Sukma

Shahmim, Wan Nur Azri intai emas untuk Kelantan di Para Sukma

AHMAD Shahmim Mohd. Kadri (kiri) dan Wan Nur Azri Wan Azman (kanan) bersedia menggalas cabaran untuk menunai emas bagi kontinjen Kelantan pada Para Sukma 21 di Sarawak nanti. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua atlet Kelantan Ahmad Shahmim Mohd. Kadri, 22 dan Wan Nur Azri Wan Azman, 27, tekad meraih emas dalam acara powerlifting pada temasya Para Sukan Malaysia ke-21 (Para Sukma 21) di Sarawak pada 22 hingga 28 September nanti.

Ahmad Shahmim berkata, pada temasya kali ini dia akan beralih ke kategori tidak melebihi 54 kilogram (kg) pada dan menjangkakan bakal menerima tentangan sengit dari jaguh powerlifting Sarawak, Mohamad Fuad Alen.

“Mohamad Fuad adalah rakan ‘sparring’ saya di kem kebangsaan dan dia juga merupakan pemegang pingat emas kategori berkenaan pada temasya Para Sukma 20. Jadi saya tahu keupayaannya dan menjangkakan saingan sengit daripadanya nanti.

“Bagaimanapun ia tidak akan sedikitpun memadamkan hasrat dan tekad saya untuk menuai emas buat Kelantan pada Para Sukma kali ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pemenang pingat emas dan pemegang rekod kebangsaan dalam kategori atas 49 kg dengan angkatan 104 kg pada Sukma 20 itu memaklumkan telah menjalani latihan sejak awal tahun lagi dan kini berada dalam keadaan bersedia untuk pertandingan.

Ahmad Shamim berkata, persediaan awal adalah berkebetulan dia turut menyertai World Para Powerlifting World Cup 2024 di Pattaya, Thailand pada 8 hingga 11 Mei lalu yang mana dia menamatkan saingan di tempat ke-11.

“Insya-Allah, saya mahu genggam pingat emas sekali lagi pada tahun ini. Saya sudah bersedia dan rekod angkatan terbaik peribadi pada ketika ini adalah seberat 110 kg,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Nur Azri mengambil pendekatan untuk tidak memikirkan siapa bakal menjadi pencabar terdekat yang akan memberikan saingan sengit kepadanya kali ini sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu pingat emas.

“Sebetulnya saya tidak pernah memikirkan siapa pencabar terdekat atau siapa akan beri saingan sengit. Saya hanya beri tumpuan kepada tekad untuk mengulangi kejayaan merangkul emas pada Para Sukma 20 dengan angkatan 130 kg.

“Pada edisi kali ini saya akan bertanding dalam kategori tidak melebihi 107 kg. Insya-Allah saya sudah bersedia untuk pertandingan dan rekod angkatan peribadi terbaik pada ketika ini adalah 181 kg,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya