PETALING JAYA: Pemain badminton beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani ibarat menyambut kejayaan berganda apabila selamat menimang cahaya mata sulungnya pada Isnin.
Berita gembira itu hadir sehari selepas dia bersama Goh Sze Fei muncul juara Terbuka China pada Ahad.
Kehadiran orang baharu dalam keluarganya itu dikongsikan oleh isteri Izzuddin, Mawar Mutiara menerusi satu hantaran di Instagram.
Mawar memuat naik gambar bersama Izzuddin sedang merangkul anak sulung mereka.
Lebih istimewa pasangan ini menimang cahaya mata pertama ketika ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 23 September 2024.
Hantaran Mawar mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mengucapkan tahniah kepada Izzuddin dan isteri atas kelahiran permata hati mereka itu.
Izzuddin dan Goh Sze Fei mencipta kejutan apabila menjadi pasangan regu pertama dari Malaysia merangkul gelaran dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Kemenangan mereka itu sekali gus menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia bagi muncul juara kategori beregu lelaki pada temasya kejohanan Terbuka China. – UTUSAN