PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) berazam memulakan kempen saingan Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan keputusan positif menjelang aksi pertama Kumpulan H berdepan Muangthong United FC di Stadium Rajamangala, Bangkok, hari ini.
Bagi mencapai sasaran itu, pengendali Gergasi Merah, Nidzam Jamil akan menurunkan kesebelasan terbaik termasuk membariskan tonggak importnya dalam kemunculan pertama mereka di pentas Asia.
Katanya, kesemua pemainnya termasuk pemain import bersedia untuk membawa pulang mata daripada Bangkok.
“Ya kerana kita dibenarkan bermain dengan pemain import yang bukan seperti Liga Malaysia (Liga M) dan itu antaranya. Cabaran itu antara bagaimana kita nak letakkan pemain dan siapa yang harus dimainkan pada perlawanan dengan Muangthong nanti,” katanya.
Red Giants bakal turun dengan barisan kesebelasan terbaik khususnya barisan import termasuk penyerang baharu dari Jordan, Ali Olwan.
Selain Olwan, Selangor turut memiliki tujuh lagi tonggak berkaliber antaranya pemain tengah kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh; penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez; pemain sayap lincah Cape Verde, Alvin Fortes dan tonggak kreatif, Yohandry Orozco dari Venezuela.
Tiga lagi pemain iaitu dua pertahanan kental masing-masing dari Uzbekistan, Umar Eshmurodov dan Safuwan Baharudin yang berasal dari Singapura serta tonggak tengah Ghana, Alex Agyarkwa.
Dalam masa sama, mereka turut memiliki penjaga gol baharu, Kalamullah Al-Hafiz yang berpindah dari Kedah Darul Aman FC.
Jelas Nidzam, dia mahu pemainnya mempamerkan aksi bertenaga biarpun mengakui ini adalah pentas baharu buat anak buahnya.
“Ya kerana kita dibenarkan bermain dengan pemain import yang bukan (jumlah) seperti Liga Malaysia. Saya tidak kata, saya tidak mahu kita yakin tapi ini adalah pengalaman pertama kita selepas tujuh ke lapan tahun di saingan Asia.
“Sudah tentu kemenangan (dalam aksi Liga Super ke atas Kuching City Jumaat lalu) membangkitkan motivasi tetapi pentas sangat berbeza.
“Mereka (pasukan yang layak beraksi di ACL2) semua pasukan-pasukan elit di Asia dan kita kena harus tingkatkan banyak perkara untuk kita bersaing di pentas itu,” katanya.
Kali terakhir Selangor bermain di peringkat Asia adalah pada 2016, di mana Red Giants beraksi di Piala AFC namun terkandas di peringkat Kumpulan E selepas hanya menamatkan saingan di tempat ketiga daripada empat pasukan.-UTUSAN