PETALING JAYA: Selangor FC meneruskan rentak kecemerlangan dalam aksi liga apabila mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar.
Kemenangan tersebut menjadi tonik terbaik buat skuad Gergasi Merah untuk menghadapi kelab Thailand, Muangthong United dalam aksi pembukaan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Thunderdome, Nonthaburi pada 19 September ini.
Dalam pertemuan menentang Kuching City FC menyaksikan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi jaringan Ronnie Fernandez yang pada mulanya didakwa bola terkena tangan namun pengadil mengesahkan gol tersebut menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Kesilapan penjaga gol Kuching City FC, Mohd. Shahril Sa’ari hampir memberi peluang tuan rumah menjaringkan gol namun asakan yang dibuat Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-30 tersasar.
Bersambung babak kedua, Selangor FC hampir menjadikan kedudukan 2-0 bagaimanapun jaringan Alvin Fortes pada minit ke-60 dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Gol kedua tuan rumah hadir pada minit ke-67 menerusi penyerang baharu, Ali Olwan selepas menerima lorongan cantik daripada Fernandez.
Pertahanan Uzbekistan, Umar Eshmurodov menanduk masuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-74 berpunca daripada sepakan penjuru Yohandry Orozco manakala gol keempat hadir pada minit ke-80 menerusi rembatan kaki kiri Fortes.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan, jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemainnya malah memuji Olwan apabila berjaya meledak gol pertamanya bersama pasukan.
“Gembira dengan kemenangan ini selepas rehat lama. Bagi aksi pertama dia (Olwan) menjaringkan gol dan saya gembira dengan prestasinya. Saya berharap dia pemain yang bagus untuk kami,” katanya. – UTUSAN