Sarjit puji semangat Speedy Tigers

Sarjit puji semangat Speedy Tigers

AKSI Speedy Tigers dalam kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024 di Pusat Latihan Moqi, Hulunbuir, China .-IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Sarjit Singh memuji semangat juang pemain negara selepas melakar kemenangan pertama mereka ke atas Jepun 5-4 pada Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024, semalam.

Sarjit berkata jika pemain mampu mengambil setiap peluang yang ada, Speedy Tigers mampu menjaringkan lebih daripada lima gol di kejohanan antarabangsa berkenaan.

“Kemenangan yang bagus dan perlu dibayar dengan harga yang mahal kerana ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan.

“Kemahuan dan usaha yang baik dipamerkan keseluruhan pemain walaupun ada beberapa kesilapan di atas padang.

“Untuk menjaringkan 5 gol di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang baik, namun jika pemain mengambil setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol sudah pasti dapat lebih daripada itu,” kata Sarjit.

Kemenangan ke atas Jepun ini menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk berada di kelompok empat terbaik bagi mara ke separuh akhir ACT 2024.

Kelmarin, Speedy Tigers dilanda kekalahan terbesar sejak Sarjit mengambil alih skuad hoki kebangsaan apabila tewas kepada India 8-1.

Pada aksi pembukaan Ahad lalu, Malaysia diikat Pakistan 2-2 manakala perlawanan kedua Speedy Tigers tunduk kepada China 4-2.

Malaysia yang kini berada di tangga keempat, seterusnya perlu menang ke atas Korea Selatan pada perlawanan Sabtu ini bagi menjaminkan kedudukan ke separuh akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN