KUALA LUMPUR: Pasukan hoki kebangsaan kini berbaki kurang dari setahun sahaja lagi bagi dibentuk menjadi pesaing utama di persada antarabangsa.
Perkara itu diakui oleh pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh yang mana beliau menyatakan sekurang-kurangnya 18 bulan untuk membentuk skuad yang ampuh sebelum ini ketika diangkat menjadi ketua jurulatih kebangsaan.
Beliau yang memegang selalu ketua jurulatih sejak Mac lalu, menyedari masih terdapat beberapa aspek kelemahan yang harus diperbaiki ketika ini.
“Sejak saya jadi jurulatih pada hari pertama, saya sudah berkata memerlukan 18 hingga 24 bulan. Semua perlu tunggu dan lihat. Sekarang semua sedia tahu kita ada tiga pemain terbaik, Marhan Jalil, Faizal Saari dan Fitri Saari.
“Sebab itu dalam masa 13 hingga 14 minggu ini, saya akan fokus meningkatkan program latihan fizikal kepada pemain untuk membina otot mereka,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.
Ditanya mengenai prestasi semasa Speedy Tigers, Sarjit berkata beberapa pemain menunjukkan prestasi memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan ketika aksi Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024, baru-baru ini
Bagaimanapun, jurulatih berusia 61 tahun itu mendedahkan, keputusan yang lebih positif masih belum tiba susulan masih banyak kejohanan yang mereka perlu sertai.
“Di kejohanan ini (ACT 2024), Nik Aiman, Shello Silverius, Amirul Hamizan dan Fariz Harizan bermain dengan sangat baik.
“Jadi perlahan-lahan kita dapat lebih banyak pemain yang terbaik sekali gus pasukan yang lebih cemerlang,” tambahnya.
Speedy Tigers kini sedang menumpukan latihan fizikal untuk tiga bulan akan datang ini dan Sarjit akan mempersiapkan pasukan bagi kejohanan jemputan di New Zealand, Februari depan. – UTUSAN