GEORGE TOWN : Kira-kira 150 penumpang sebuah feri di Pulau Pinang berdepan detik-detik mencemaskan apabila bilik jentera utama pengangkutan itu terbakar secara tiba-tiba.
Keadaan itu menyebabkan situasi menjadi huru-hara apabila 10 daripada mengalami kecederaan akibat disambar api manakala 14 lagi penumpang sempat terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, keadaan terkawal dan kesemua penumpang feri terbabit berjaya diselamatkan oleh pelbagai agensi
yang bertindak pantas dalam menjalankan operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang terlibat.
Situasi ‘panik’ itu bagaimanapun hanya merupakan sebahagian daripada sesi latihan bagi menghadapi insiden atau bencana maritim atau Latihan Mencari dan Menyelamat (Sarex) Level 3 yang telah berjaya dilaksanakan di negeri ini selama tiga hari bermula Rabu lalu.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis selaku Koordinator SAR bagi Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, latihan Sarex Level 3 itu yang dilaksanakan kali ini turut melibatkan pemerhati-pemerhati dari agensi kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan krisis.
“Daripada hasil pemerhatian yang telah dilakukan, secara keseluruhan, latihan ini dilihat telah berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancangkan sebelum ini.
“Melalui latihan ini, setiap agensi dan jabatan yang terlibat akan dapat menguji prosedur operasi standard (SOP) jabatan dan agensi masing-masing ketika berhadapan dengan situasi sebenar bencana di laut.
“Selain itu, latihan ini juga dapat mengenal pasti kepakaran khusus yang dimiliki setiap jabatan dan agensi dalam menjalankan ‘Operasi Carilamat’,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup Sarex Level 3 yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari agensi seperti Penang Port, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan lain-lain.
Difahamkan, untuk Sarex Level 3 kali ini, lebih 15 agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam latihan ini dalam menguji prosedur tetap serta SOP agensi masing-masing.
Menurut Romli, Sarex Level 3 itu membabitkan tiga fasa berbeza iaitu fasa taklimat, fasa ‘tabletop exercise’ dan latihan sebenar yang dijalankan di sekitar perairan Penang Port serta fasa terakhir iaitu post mortem di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Batu Uban.
“Latihan kali ini turut menjadi medan bagi memperkukuhkan hubungan dan persefahaman peserta dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam ‘Operasi Carilamat’ maritim terutamanya dari segi komunikasi agar penyaluran maklumat lebih berkesan dan efektif,” ujarnya.-UTUSAN