LISBON: Cristiano Ronaldo mencipta sejarah bola sepak apabila menjaringkan gol ke-900 dalam perlawanan rasmi dan menjadi pencapaian terbaharunya.
Gol tersebut dihasilkan Ronaldo menerusi sepakan voli dari jarak enam meter hasil hantaran lintang daripada Nuno Mendes pada minit ke-34 ketika membantu Portugal menewaskan Croatia 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara di Lisbon, semalam.
“Ia memberi banyak makna. Ia adalah satu pencapaian yang saya ingin capai sekian lama. Saya tahu saya akan mencapai angka ini kerana apabila saya terus bermain ia akan berlaku secara semula jadi,” kata Ronaldo.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu kini mendahului pencabar terdekatnya, Lionel Messi dengan 58 gol selepas pemain Argentina itu mengumpul 842 gol. Legenda Brazil, Pele di tempat ketiga dengan 765 gol. – AGENSI