Rogol anak OKU bawah umur, bapa kekal dipenjara 25 tahun, 10 sebatan - Utusan Malaysia

Rogol anak OKU bawah umur, bapa kekal dipenjara 25 tahun, 10 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bapa kerana merogol anak kandung perempuan bawah umur yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, menolak rayuan akhir lelaki berusia 38 tahun itu selepas berpuas hati kesalahan tersebut serius kerana mangsa bukan sahaja `darah dagingnya’ malah seorang OKU.

“Ini bukan kali pertama perayu melakukan perbuatan tersebut kerana dia lakukan perkara sama kepada kakak mangsa. Sebagai bapa, kamu telah mengambil kesempatan terhadap anak sendiri yang sepatutnya kamu jaga dan lindungi. 

“Kesalahan rogol terhadap ahli keluarga sendiri semakin berleluasa dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah sebelum ini adalah wajar. Kami tidak nampak apa-apa merit untuk mahkamah mengganggu hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.  Rayuan ditolak,” ujar beliau.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Koram berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang pada 1 November 2023 dan Mahkamah Tinggi Klang yang mengesahkannya pada 31 Januari lalu. Hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 27 Oktober 2023.

Lelaki berkenaan mengaku bersalah merogol mangsa berusia 14 tahun di bilik sebuah rumah di Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam, Selangor antara pukul 8.30 dan 9 malam, 11 Oktober 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum.

Mahkamah Sesyen turut memerintahkan lelaki berkenaan menjalani kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman penjara selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad berhujah bahawa hukuman penjara 25 tahun yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan perayu.

“Walaupun perayu telah mengaku salah dan menjimatkan masa semua pihak, namun kesalahan dilakukannya serius dan berat. Tiada hukuman yang dapat mengembalikan maruah dan kesucian mangsa atas perbuatan keji perayu yang juga bapa kandung mangsa,” katanya.

Menurut Aznee, mangsa adalah seorang OKU yang mempunyai masalah pembelajaran dan kesalahan itu dilakukan semasa mangsa berada di rumah, yang sepatutnya menjadi tempat berlindung. 

“Di manakah lagi tempat yang selamat jika di rumah sendiri pun jenayah seperti ini boleh berlaku. 

“Perayu bukan sahaja mengkhianati amanah dan tanggungjawabnya sebagai bapa, malah gagal mengawal nafsu dan menyebabkan anaknya menderita dan trauma akibat perbuatan keji yang tidak berhati perut,” kata Aznee.

Pihak pendakwaan menegaskan, perayu sebelum ini turut dikenakan hukuman penjara 25 tahun kerana merogol seorang lagi anaknya berusia 16 tahun yang juga kakak mangsa.

Sementara itu, peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Selangor, yang mewakili perayu berhujah tempoh pemenjaraan 25 tahun adalah terlalu tinggi dan memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara berkenaan.

“Perayu ada satu lagi kes di mana dia dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan kerana merogol seorang lagi anaknya dan jika mahkamah ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun, perayu akan menjalani hukuman penjara berjumlah 50 tahun.

“Tempoh pemenjaraan yang terlalu lama akan menyukarkan perayu untuk kembali ke pangkuan keluarga dan mencari pekerjaan bagi menyara keluarganya termasuk ibu berusia 70 tahun dan empat anaknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya