NEW DELHI: Seorang budak perempuan berusia enam tahun, dirogol remaja lelaki berumur 17 tahun di Kampung Pathri, Haridwar di Uttarakhand, sekali gus memperlihatkan keseriusan jenayah berkenaan di negara ini.
Menurut polis Haridwar, kejadian berlaku pada malam Khamis lalu, yang juga kes kedua membabitkan kanak-kanak berumur kurang tujuh tahun menjadi mangsa keganasan seksual dalam tempoh 10 hari di negeri sama.
Polis berkata, berdasarkan laporan, mangsa bermain dengan seorang jiran pada petang hari kejadian, namun tidak pulang ke rumah membuatkan bapanya segera mencari kanak-kanak tersebut.
Saksi menyatakan, mereka ternampak mangsa berbual dengan suspek, yang juga seorang jiran membuatkan bapanya segera ke rumah suspek dan menemui mangsa terbaring di sofa dengan keadaan tangan terikat dan mulutnya ditutup.
Suspek hanya ditangkap 24 jam kemudian dan disiasat di bawah Akta Perlindungan Salah Laku Seksual Kanak-Kanak (POCSO).
Pegawai penyiasat, Sub Inspektor Shahida Parvee berkata, suspek telah dihadapkan ke Lembaga Kehakiman Juvenil dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan.
Minggu lalu, tiga kanak-kanak bawah umur iaitu dua berusia 10 tahun dan seorang enam tahun, merogol seorang budak perempuan empat tahun. Semua mereka belajar di sekolah yang sama di Udhamsingh Nagar.
Polis kemudian mencekup suspek yang diletakkan di Bawah perlindungan Lembaga Kehakiman Juvenil Udhamsingh Nagar. – AGENSI