Rakyat Jordan mengundi Pilihan Raya Parlimen - Utusan Malaysia

Rakyat Jordan mengundi Pilihan Raya Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Kira-kira 5.1 juta rakyat hari ini mengundi pada Pilihan Raya Parlimen Jordan, pemilihan pertama di bawah undang-undang baharu yang bakal mengembalikan peranan parti politik.

Pusat-pusat pengundian mula dibuka seawal pukul 7 pagi waktu tempatan, manakala keputusan pilihan raya dijangka diumumkan 48 jam kemudian.

Agensi berita Jordan News melaporkan, sebanyak 697 calon bertanding untuk jawatan di peringkat Parlimen yang terdiri daripada 505 lelaki dan 192 wanita.

Laporan sama menyebut, sebanyak 937 calon iaitu 747 lelaki dan 190 wanita bersaing untuk merebut jawatan di peringkat negeri dan daerah.

Pilihan raya kali ini adalah yang pertama sejak pindaan Perlembagaan 2022 dan pelaksanaan undang-undang baharu yang mengawal pilihan raya dan parti politik.

Ia diperkenalkan bagi meningkatkan peranan parti politik di negara ini di mana hubungan antara puak memainkan peranan yang dominan berbanding parti politik.

Di bawah undang-undang baharu, sebanyak 41 daripada 138 kerusi di Parlimen diperuntukkan untuk lebih 30 parti berdaftar yang kebanyakannya pro-kerajaan.

Ia juga meningkatkan kuota untuk perwakilan wanita kepada 18 daripada 15 kerusi dan menurunkan umur untuk wakil yang dipilih kepada 25 daripada 30 tahun.

Parti Islam dijangka memperoleh kemenangan berikutan kemarahan penduduk terhadap perang Israel di Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN