Putra sokong penempatan pegawai Islam dalam jabatan kerajaan

Putra sokong penempatan pegawai Islam dalam jabatan kerajaan

Shahrulufti Sharif - FACEBOOK RASMI PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyokong penempatan pegawai agama Islam dalam jabatan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan syiar Islam dalam semua sektor bagi memartabatkan agama dalam setiap aspek kehidupan masyarakat.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, pihaknya menyokong kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki yang menyifatkan kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) terhadap penempatan pegawai agama Islam di jabatan kerajaan sebagai tindakan yang ‘berunsur hasutan’.

“Putra menegaskan bahawa hak umat Islam untuk mendapatkan perkhidmatan yang mencerminkan nilai-nilai agama mereka adalah hak asasi yang perlu dihormati. Ini termasuk kebebasan untuk menjalankan ibadah dan mengamalkan ajaran agama dengan sepenuhnya.

“Dalam menghadapi pelbagai cabaran, kami menyeru semua pihak untuk bersatu dalam mempertahankan hak dan kepentingan umat Islam sebagai warganegara Malaysia. Perpaduan adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan negara.

“Selain itu, kami berpegang kepada prinsip-prinsip Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak keagamaan dan budaya semua rakyat. Kami juga berkomitmen untuk memastikan bahawa semua tindakan dan kebijakan yang diambil selaras dengan prinsip-prinsip ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MCCBCHST menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.

Memetik laporan Daily Express, mereka membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah itu bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.

Mengulas lanjut,  Shahrulufti berkata, pihaknya akan terus berjuang untuk memastikan agama Islam dan bangsa Melayu diperkasakan dalam semua aspek.

“Kami percaya bahawa dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kita dapat mencapai matlamat ini demi masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

“Justeru, kami menegaskan bahawa Putra akan terus berjuang untuk memperkuatkan kedudukan agama Islam, mempertahankan hak Melayu, dan menghormati perlembagaan negara.

“Semoga dengan kerjasama semua pihak, kita dapat membina Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya