PUMA Deviate Nitro 3 antara kasut yang ‘wajib’ dimiliki oleh mereka yang gemar melakukan aktiviti larian atau berjogging bagi jarak dekat mahupun jauh.
Jenama sukan itu telah menghasilkan beberapa kasut larian yang bagus dan menarik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengenalan Nitro pada tahun 2021 menandakan era baharu bagi jenama itu dengan menggunakan sistem kusyen ultra-ringan yang menyaksikan buih disuntik dengan campuran gas nitrogen untuk meningkatkan spring dan lantunannya.
Menerusi teknologi itu, kasut ini muncul antara kasut larian terbaik yang mampu memikat hati pelari-pelari.
Malah, keluaran generasi ketiga kasut ini juga menitikberatkan soal keselesaan kepada pemakainya dan tentunya mereka yang membelinya tidak akan menyesal dan rasa berbaloi memilikinya.
Seperti generasi sebelum ini, Deviate Nitro 3 dikategorikan sebagai kasut latihan harian dengan plat karbon.
Tentu sekali, Deviate Nitro 3 dibawakan dengan beberapa penambahbaikan dilakukan berbanding Deviate Nitro 2 sekali gus memberi perbezaan antara kedua-dua kasut berkenaan.
Begitupun, Deviate Nitro 3 dilihat lebih berat berbanding Deviate Nitro 2 namun secara keseluruhan keluaran terbaharu ini memiliki keistimewaan tersendiri.
Untuk merasai prestasi maksimum, penulis telah mencatat larian sejauh 30 kilometer(km) sepanjang hampir seminggu menggunakan Puma Deviate Nitro 3 dan melakukan pelbagai jenis larian iaitu santai, laju dan jauh.
Natijahnya, Puma Deviate Nitro 3 boleh dikategorikan antara kasut larian terbaik yang berada di pasaran ketika ini dan harganya setara dengan kualiti serta berbaloi untuk dimiliki.
INFO RINGKAS PUMA Deviate Nitro 3:
Berat: 250g (saiz UK8)
Ketinggian: 39mm (tumit), 29mm (kaki depan)
Permukaan: Jalan raya atau ‘track’ jogging
Untuk siapa: Pelari yang mencari kasut plat karbon selesa dan boleh untuk latihan setiap hari