Pulang daripada bercuti, air pasang faktor mangsa banjir meningkat - Utusan Malaysia

Pulang daripada bercuti, air pasang faktor mangsa banjir meningkat

AMINURRAHIM Mohamad (dua kanan) bersama para pegawai APM Kedah meninjau situasi semasa banjir di Kampung Chegar, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertambahan jumlah mangsa banjir di Kedah yang kini mencecah 8,066 orang mungkin berpunca daripada penduduk yang baru pulang ke rumah-masing ketika musim cuti sekolah hampir tamat.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamad berkata, fenomena air pasang besar di laut juga antara punca Kedah terus dilanda banjir sehingga kini.

“Mungkin sebelum ini mereka keluar bercuti ke mana-mana dan apabila pulang barulah masing-masing sedar bahawa rumah mereka dimasuki air.

“Disebabkan itu, berlaku pertambahan jumlah mangsa banjir menjelang akhir cuti sekolah ini, faktor air pasang juga boleh menyebabkan banjir lambat surut,” katanya ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Chegar di sini, hari ini.

Sementara itu, amaran fasa peralihan monsun dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) perlu diberi perhatian di samping kes-kes pokok tumbang di seluruh negara yang turut meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Aminurrahim berkata, aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan semua pihak kerana peralihan monsun biasanya akan disusuli angin kencang yang boleh menjejaskan struktur tertentu termasuk pokok-pokok besar atau tua.

“Aduan pokok tumbang yang diterima di seluruh negara pada Ogos adalah sebanyak 1,047 kes. Namun pada bulan ini, jumlah itu meningkat mendadak dengan aduan diterima setakat semalam mencecah 1,930 kes,” katanya.

Tambahnya, pertambahan kes tersebut perlu dijadikan panduan kepada semua pihak agar berhati-hati terutamanya ketika berada di lokasi berisiko.

“Selain pokok, orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dengan struktur yang tidak kukuh. Jika ada yang masih dalam pembinaan, pihak terlibat diminta supaya segera melakukan sesuatu agar tiada kejadian buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN