PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri selepas menewaskan Josue Cruz dari Mexico dalam pertarungan ONE: 168 Denver dengan keputusan ‘knockout’ (KO), hari ini.
Beliau yang mesra disapa Jojo, hadir dengan persembahan yang lebih agresif dan hanya memerlukan satu pusingan untuk menumbangkan Cruz.
Pada aksi yang berlangsung di Ball Arena, Amerika Syarikat (AS) itu, Jojo enggan memberi muka kepada lawannya selepas melepaskan tumbukan bertubi-tubi.
Biarpun hidungnya berdarah, pukul Jojo jelas memberi kesan yang mendalam kepada lawannya yang akhirnya akur tidak dapat meneruskan perlawanan.
Kejayaan ke atas Cruz turut menyaksikan Jojo kembali di landasan kemenangan selepas tewas pada perlawanan terdahulu kepada wakil Vietnam, Nguyen Tran Duy Trat, Jun lalu.
Kemenangan itu menyaksikan Jojo membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM216,500 atas kejayaannya menumpaskan lawan hanya dalam satu pusingan.
Untuk rekod, kemenangan KO ke atas Cruz menjadikan yang kelima untuk Jojo dalam perlawanan ONE Championship. – UTUSAN