Protes di Melbourne bertukar ganas - Utusan Malaysia

Protes di Melbourne bertukar ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Polis Australia bertempur dengan penunjuk perasaan anti-perang di luar sebuah pameran pertahanan Melbourne, bandar kedua terbesar Australia, hari ini.
Akibatnya, puluhan orang ditahan setelah polis menggunakan peluru span, alat letupan kilat dan semburan bahan perengsa untuk mengawal sebahagian daripada penunjuk perasaan yang agresif.

Menurut Jurucakap Polis Negeri Victoria, pihak polis dilempari dengan batu, najis kuda dan botol berisi cecair ketika mereka berusaha melindungi peserta pameran, dengan beberapa di antara mereka turut diserang oleh penunjuk perasaan.

Sebanyak 24 anggota polis memerlukan rawatan perubatan dan 39 orang ditahan atas kesalahan termasuk menyerang, menghalang atau mengganggu tugas polis, membakar dan menyekat jalan, menurut Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria, Shane Patton dalam satu sidang akhbar.

Penunjuk perasaan menyalakan api di jalan raya, mengganggu lalu lintas dan pengangkutan awam, sementara peluru dilemparkan ke arah beberapa kuda polis, namun tiada kecederaan serius dilaporkan, kata polis.

Tambah beliau, beberapa anggota polis dilaporkan diludah oleh penunjuk perasaan, manakala yang lain disembur dengan cecair perengsa, sebahagian daripadanya dikenal pasti sebagai asid.

“Inilah jenis kelakuan menjijikkan yang kami saksikan hari ini daripada kumpulan yang berniat untuk berkonfrontasi dengan kami jika anda ingin datang dan membantah, lakukan secara aman. Kami tidak akan bertolak ansur dengan kelakuan jenayah,” katanya.

Kira-kira 1,200 orang menghadiri protes di luar lokasi penganjuran Pameran Pertahanan Darat Antarabangsa Land Forces yang diadakan setiap dua tahun sekali, kata pihak berkuasa.

Ramai yang melaungkan slogan pro-Palestin melalui pembesar suara dan mengibarkan bendera Palestin, sementara yang lain membawa papan tanda dan bendera mewakili konflik dan perjuangan lain, berdasarkan rakaman video.

Sementara itu, Perdana Menteri, Anthony Albanese menegaskan orang ramai mempunyai hak untuk membantah tetapi perlu melakukannya secara aman.

“Tidak boleh anda katakan menentang peralatan pertahanan dengan melemparkan objek ke arah polis.

“Mereka mempunyai tugas untuk dilaksanakan dan pegawai polis kita harus dihormati sepanjang masa,” kata Albanese kepada saluran televisyen Channel Seven. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN