PETALING JAYA: Fakhrul Akmal muncul juara Piala Harrier Jelajah Toyota menewaskan pencabar terdekat, Lee Chong Li dengan perbezaan sembilan pukulan di Kelab Golf Diraja Pahang (KGDP), semalam.
Fakhrul yang memulakan pertandingan dengan kelebihan tiga pukulan ke atas Kim Leun Kwang, memulakan saingan dengan bogey pada lima lubang pertama manakala Kim dan Brandon Li membuat birdie menerusi dua pukulan.
Bagaimanapun, Fakhrul bangkit dengan menambah birdie pada lubang kedua, ketiga, keenam, ketujuh dan ke-10 untuk mengatasi pesaingnya malah pada satu ketika dia turut memiliki kelebihan 10 pukulan.
“Saya hilang kata-kata. Saya sudah hampir menang beberapa kali dan saya sentiasa tertanya-tanya sampai bila saya perlu menunggu untuk mencipta kemenangan profesional pertama.
“Melakukannya di sini adalah sesuatu perkara yang tidak ternilai, ini kali pertama saya bermain di KGDP dan sokongan penonton di sini sangat hebat. Mereka membuat saya rasa seperti di tempat sendiri,” kata Fakhrul dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fakhrul yang membawa pulang hadiah utama sebanyak RM31,500 mengakui kemenangan tersebut meningkatkan keyakinannya pada masa depan.
“Walaupun saya memulakan pertandingan dengan kelebihan tiga pukulan, saya tidak memikirkan jurang semasa pusingan saya. Saya hanya menyasarkan untuk mencapai bawah 20 dan berfikir bahawa skor itu mungkin cukup untuk menang,” katanya.
Sementara itu, bagi kategori wanita dimenangi Zulaikah Nasser yang sebelum itu menjuarai Sekolah Kelayakan Jelajah Golf Toyota di Kota Seriemas, dua minggu lalu.
“Rasa tidak percaya, mengambil masa untuk menghadamnya. Saya telah buktikan kepada diri sendiri bahawa saya layak berada di jelajah ini dan menjadi pemain golf profesional adalah kerjaya yang tepat untuk saya,” katanya. – UTUSAN