PARIS: Atlet para Itali, Valentina Petrillo mencipta sejarah apabila menjadi atlet transgender pertama yang beraksi dalam Sukan Paralimpik.
Petrillo, 50, menamatkan perlumbaan pusingan pertamanya dalam acara 400 meter T12 (cacat penglihatan) menduduki tempat kedua dan layak ke separuh akhir pada Paralimpik Paris 2024.
Dia menghidap penyakit Stargardt, satu keadaan retinogenetik yang menyebabkan penglihatannya hilang secara beransur-ansur namun tidak seperti pesaingnya, Petrillo berlari tanpa menggunakan khidmat pembantu.
Petrillo menukar jantinanya pada 2019, berkata penyertaannya di Paris adalah “simbol penting penerimaan”
“Suasana di stadium sangat hebat, ia benar-benar mimpi yang menjadi kenyataan.
“Mulai hari ini, saya tidak mahu mendengar lagi tentang diskriminasi atau prejudis terhadap orang transgender,” katanya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membenarkan badan pengurusan sukan antarabangsa untuk menetapkan dasar mereka sendiri.
Presiden IPC, Andrew Parsons memberitahu penyertaan Petrillo dialu-alukan di Paris menurut peraturan Olahraga Para Dunia yang ada ketika ini dan dia mahu dunia melihat sukan menerima dasar transgender. – AGENSI