Pesakit maut, doktor buat pembedahan berpandukan YouTube

Pesakit maut akibat doktor buat pembedahan berpandukan YouTube

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang doktor di India dituduh menyebabkan kematian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun selepas didapati melakukan pembedahan batu karang dengan hanya berpandukan video YouTube.

Insiden yang melibatkan Dr. Ajit Kumar Puri, seorang doktor di Hospital Ganpati, Bihar kini diselubungi kontroversi akibat tindakan tidak bertanggungjawab.

Menurut laporan Oddity Central, keluarga remaja tersebut mendakwa membawa anak mereka ke hospital tersebut minggu lalu, selepas dia mengalami muntah berulang kali.

Setelah diberikan rawatan, gejalanya dilaporkan reda, namun Dr. Puri membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan batu karang yang dianggap sebagai punca masalah tersebut.

Lebih memburukkan keadaan, doktor tersebut telah menghantar ayah remaja itu keluar dari hospital atas alasan tertentu sebelum meneruskan pembedahan tanpa persetujuan keluarga dan tindakan ini didakwa menyebabkan kesihatan remaja tersebut makin merosot.

Selepas pembedahan, remaja berkenaan mula mengadu sakit teruk, namun apabila keluarga cuba berhadapan dengan Dr. Puri, mereka diherdik dan dipersoal sama ada mereka mempunyai kelayakan sebagai doktor dan keadaan remaja tersebut semakin kritikal hingga memerlukan rawatan CPR.

Dr Puri kemudiannya membuat keputusan untuk memindahkan pesakit ke hospital lain, namun malangnya, remaja tersebut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Patna.

Lebih mengejutkan, doktor terbabit dilaporkan melarikan diri dan meninggalkan mayat remaja itu di tangga hospital sebelum menghilangkan diri.

“Kami merawatnya sehingga dia berhenti muntah selepas itu. Namun, Dr. Ajit Kumar Puri mengatakan dia perlu menjalani pembedahan. Dia melakukan pembedahan sambil menonton video di YouTube. Anak saya meninggal kemudian.” kata Ayahnya kepada NDTV.

Keluarga mangsa menuntut keadilan dengan mendakwa Dr. Puri tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk melakukan pembedahan tersebut, dan cara beliau menangani situasi itu adalah tidak beretika dan tidak bertanggungjawab yang menimbulkan persoalan tentang kualiti dan integriti profesional perubatan di sesetengah kawasan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN