Perpustakaan Indonesia terbitkan 100 komik manuskrip kuno

Perpustakaan Indonesia terbitkan 100 komik berasaskan manuskrip kuno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Perpustakaan Nasional Indonesia (Perpusnas) menghasilkan 100 komik daripada manuskrip kuno dengan bertujuan untuk menyebarkan kandungan dan mesej manuskrip tersebut kepada masyarakat serta menarik minat pembaca muda.

Pemangku Ketua Perpusnas, E. Aminudin Aziz berkata, terdapat 100 judul komik yang dihasilkan, dengan kesemuanya berasaskan manuskrip kuno.

“Tujuan kami menukar manuskrip kuno kepada komik adalah kerana kami mahu kandungannya lebih dikenali oleh pembaca,” katanya.

Beliau berkata, golongan pembaca umumnya menghadapi kesukaran untuk membaca serta menghayati manuskrip kuno dan menjadikannya sebagai media visual seperti komik diharap mampu menyelesaikan masalah tersebut.

“Penulis kreatif telah memproses skrip-skrip ini menjadi komik agar ia lebih mudah difahami, dan diharapkan golongan muda akan lebih bersemangat untuk membaca,” katanya.

Tambah beliau, Perpustakaan Nasional juga akan terus menukar skrip kuno kepada bentuk media lain seperti filem dan animasi.

“Pada masa depan, kami akan cuba menghasilkan filem pendek dan animasi. Di Badan Bahasa, mereka telah mengolah cerita-cerita rakyat ke dalam video animasi dalam bahasa tempatan, dan respons daripada masyarakat amat positif,” ujarnya.

Aminudin berkata, pengurus perpustakaan perlu mengubah persepsi perpustakaan yang hanya dilihat sebagai tempat menyimpan buku dan bahan bacaan.

Di samping itu, beliau turut mengakui terdapat cabaran untuk meningkatkan indeks celik pengetahuan dalam kalangan masyarakat akibat kurangnya koordinasi dari peringkat pusat hingga ke daerah dalam melaksanakan aktiviti yang mempromosi pembacaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN