PETALING JAYA: Sukan Paralimpik Paris 2024 kini sudah melabuhkan tirainya dengan pencapaian kontinjen Malaysia menurun kepada dua pingat emas berbanding dua edisi lalu yang mengutip tiga emas di Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Pencapaian kontinjen negara boleh dianggap gagal kerana tidak mencapai sasaran empat pingat emas namun ianya bukan satu kekecewaan besar berikutan atlet yang disandarkan masih menyumbang pingat kepada negara.
Pemerhati sukan, Datuk Pekan Ramli berkata sudah sampai waktu Malaysia tidak mengharapkan atlet ini untuk menyumbang pingat emas sebaliknya harus fokus mencari pelapis baharu menjelang Sukan Paralimpik Los Angeles (LA) 2028.
Beliau meluahkan rasa kebimbangan susulan kitaran Paralimpik empat tahun sekali mampu menggugat atlet yang sedia ada dan peluang untuk mencari bakat baharu atlet para ini amat sukar berikutan terdapat pelbagai kategori dan acara.
“Pada awalnya sangat cerah peluang kita untuk mencapai sasaran empat pingat emas terbabit namun pelbagai kemungkinan boleh berlalu. Ini menunjukkan kita tidak boleh lagi bergantung kepada atlet yang sedia ada.
“Kegagalan ini bukan satu yang mengecewakan. Sudah sampai waktu kita melihat pelapis baharu kerana saya risau pada satu lagi kitaran Paralimpik kita sudah tiada pelapis yang berbakat,” kata Pekan kepada Utusan Malaysia semalam.
Ditanya mengenai dua atlet menerusi Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang gagal menjelmakan emas di bumi Paris, Pekan berkata rakyat Malaysia harus ‘memaafkan’ kegagalan mereka kerana mereka masih mampu menyumbang pingat untuk negara.
“Kita masih boleh terima kerana mereka orang yang sama disandarkan untuk menyumbang pingat negara. Bukan mudah untuk mempertahankan pingat kerana kitaran Paralimpik adalah satu tempoh yang lama. Mereka (Latif dan Ziyad) merupakan atlet yang pernah menyumbang emas sebelum ini.
“Ini menunjukkan kita perlu sedia peruntukan untuk memastikan sentiasa melahirkan bakat baharu bagi memastikan mereka (pelapis) bersedia mengambil alih tugas mereka pada masa kelak,” ujarnya.-UTUSAN