Pengakap Pulau Pinang lakar sejarah, ikat buku sila 526 meter

Pengakap Pulau Pinang lakar sejarah, ikat buku sila 526 meter

MOHD. Zin Bidin (tiga dari kanan) menunjukkan ikatan buku sila sepanjang 526 meter yang diikat oleh 1,300 ahli pengakap dan menerima pengiktirafan daripada MBOR pada Majlis Penutup Karnival Pengakap Pulau Pinang di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Pengakap Pulau Pinang berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghasilkan ikatan buku sila sepanjang 526 meter di Kompleks Sukan Bertam, di sini.

Rekod itu dihasilkan pada Majlis Penutup Karnival Pengakap Pulau Pinang Peringkat Kebangsaan 2024 yang melibatkan kira-kira 1,300 ahli pengakap.

Pengarah program, Mohammed Sabhi Othman berkata, kesemua peserta yang terlibat terdiri daripada kalangan pelajar sekolah rendah, menengah serta pengakap kelana di Pulau Pinang.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Butterworth berkata, kejayaan melakar sejarah dalam MBOR itu merupakan satu kebanggaan buat ahli pengakap khususnya di seluruh Pulau Pinang ketika ini.

“Untuk menghasilkan rekod tersebut, setiap peserta perlu memegang seutas tali berukuran kira-kira 30 sentimeter (cm) dan mengikat serta menyambung tali berkenaan dengan menggunakan ikatan buku sila.

“Kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan oleh peserta begitu mengagumkan apabila mereka berjaya melakukan ikatan tersebut yang juga merupakan ikatan asas dalam pengakap dalam tempoh kurang daripada setengah jam sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Sijil pengiktirafan MBOR itu diserahkan oleh pegawai mereka, Lee Pooi Leng kepada Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin yang turut hadir pada majlis penutup tersebut.

Hadir sama Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abdul Said Hussain serta Ketua Pesuruhjaya Pengakap Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin.

Terdahulu, karnival tahunan pengakap yang sarat dengan pelbagai acara serta aktiviti lain itu berjaya menghimpunkan hampir 3,000 ahli pengakap dari seluruh Pulau Pinang serta beberapa negeri lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN