'Pendedahan Sabrina Bolivar mengenai GISB benar' - Rohani - Utusan Malaysia

‘Pendedahan Sabrina Bolivar mengenai GISB benar’ – Rohani

CHRISTINE ROHANI LONGUET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Seorang warga emas, Christine Rohani Longuet, mengakui pendedahan cucunya yang juga pempengaruh Tik Tok, Sabrina Bolivar mengenai Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holding adalah benar berdasarkan pengalaman hidupnya.

Wanita berusia 81 tahun yang berasal dari Perancis itu berkata, apa yang berlaku dalam GISB adalah sangat menyedihkan hingga meninggalkan banyak trauma kepada anak dan cucunya.

Menurutnya, semua pengabaian yang berlaku terhadap kanak-kanak dan wanita seperti yang dialami anak dan cucunya satu ketika dahulu perlu dihentikan segera dan pelaku mesti diberi hukuman setimpal.

“Kalau boleh, biarlah lebih ramai yang tampil ke depan menceritakan pengalaman mereka bersama GISB seperti yang dilakukan cucu saya, Sabrina.

“Sabrina bertindak berani apabila menceritakan pengalamannya dan saya percaya dia hanya mahu meluahkan kesedihan dan menghentikan simpati orang ramai terhadap GISB dengan apa yang berlaku ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Pulau Duyong di sini, semalam.

Baru-baru ini, Sabrina yang menetap di Paris membuat pendedahan mengejutkan mengenai ibunya, yang menjadi isteri keempat salah seorang ahli tertinggi GISB (dahulu dikenali sebagai Al-Arqam).

Menurut Sabrina, beliau melihat banyak pengabaian yang berlaku kepada ibunya semasa berada dalam organisasi tersebut sebelum diselamatkan oleh neneknya itu.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, dia menyelamatkan anak dan cucunya dari sebuah rumah di Sungai Penchala, Selangor pada tahun 1980-an kerana melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kekeluargaan yang diamalkan gerakan al Arqam pada waktu itu.

Menurutnya, pengabaian dari segi kebajikan anak dan cucunya menyebabkan dia berusaha keras mendapatkan bantuan kerajaan kerana tidak mahu mereka terus terperangkap dalam gerakan tersebut.

“Alhamdulillah, tindakan saya sangat tepat kerana setelah keluar dari tempat itu, semua cucu telah mendapat pendidikan sempurna dan kini bahagia dengan keluarga kecil masing-masing.

“Harapan saya hanya satu agar tiada mana-mana pihak terutama wanita dan kanak-kanak tertindas kerana mereka sepatutnya diberi pilihan untuk hidup bebas seperti insan biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya