Pemain utama Kedah kembali tunjuk muka

Pemain utama Kedah kembali tunjuk muka

PEMAIN-Pemain utama Kedah Darul Aman FC kembali menjalani sesi latihan selepas melakukan boikot selama hampir dua minggu.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas lama ‘menghilang’, pemain utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya kembali muncul di padang latihan sejak kelmarin.

Kehadiran semula pemain itu selepas boikot selama hampir dua minggu akibat isu tunggakan gaji selama lebih enam bulan, memberi bayangan bahawa mereka akan kembali beraksi dalam aksi menentang Sri Pahang FC di laman sendiri, Jumaat nanti.

Meskipun mengakui lega dapat kembali melihat anak-anak buahnya menjalani latihan, Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain memaklumkan, banyak ‘kerja’ yang perlu dilakukan bagi memastikan mereka dapat mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Mereka kembali berlatih sejak Isnin lalu dan ini satu kelegaan buat barisan kejurulatihan dan pengurusan. Bagi kami, melihat mereka turun berlatih pun sudah menjadi satu rahmat buat pasukan.

“Tetapi perlu diakui, rata-rata pemain tidak berada dalam kondisi terbaik setelah lama berehat. Dalam tempoh singkat ini, kami akan cuba melakukan persiapan terbaik berdepan Tok Gajah,” katanya selepas mengendalikan latihan pasukan di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), semalam.

Selain tempoh yang singkat, cabaran lain yang perlu dilalui Nafuzi serta barisan kejurulatihan adalah keadaan cuaca di negeri ini yang dijangkakan berdepan keadaan ribut dan hujan lebat berterusan dalam tempoh empat atau lima hari mendatang.

Keadaan itu menyebabkan pasukan berkenaan tidak dapat menjalani latihan penuh dengan para pemain semalam hanya menjalani latihan ringan ketika hujan lebat.

Nafuzi berkata, walau apa pun cabarannya, beliau bersama barisan kejurulatihan akan cuba melakukan yang terbaik bagi mempersiapkan pemain untuk tidak menghampakan penyokong mereka di Stadium Darul Aman.

“Minggu lepas kami tewas 5-0 dengan KL City kerana kita tahu skuad muda yang membarisi pasukan ketika itu, belum mencapai tahap yang sepatutnya untuk bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Super.

“Jadi minggu ini memang kita menagih khidmat para pemain senior untuk tidak lagi keciciran mata. Cumanya dalam kondisi pemain kini, kami perlu mencari percaturan yang betul supaya dapat mengutip mata dalam perlawanan itu nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN