PETALING JAYA: Pengurus pasukan skuad bawah 19 (B-19) negara, Datuk Mohd. Joehari Ayub menegaskan anak-anak buah Juan Torres Garrido sudah melupakan kejayaan mereka mencipta kejutan dalam aksi pembukaan Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Skuad B-19 negara menewaskan pasukan pilihan, Oman 2-1 di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan semalam dan dijadual bertemu Korea Utara di venue yang sama, esok.
“Kemenangan ke atas Oman memberi kesan positif kepada pasukan negara. Bagaimanapun, mereka dinasihatkan agar tidak dibuai dengan kemenangan tersebut dan melupakannya untuk memberi fokus pada aksi menentang Korea Utara.
“Pemain menunjukkan disiplin yang tinggi dan jurulatih berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan,” katanya.
Joehari berkata tiada sebarang kecederaan yang dialami pemain negara dan mereka sedang melakukan proses pemulihan seperti biasa.
Hanya juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik daripada 10 kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 yang akan dilangsungkan di China pada Februari tahun depan. – UTUSAN