PENDANG: Usahawan muda disaran merebut peluang dalam industri penternakan udang kara air tawar berikutan permintaan tinggi yang masih belum dapat dipenuhi sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini permintaan tinggi diterima daripada beberapa negara antaranya Singapura, Hong Kong dan Australia dengan kadar yang tidak dapat dipenuhi oleh pemain-pemain industri tempatan.
“Setakat ini kita ada kira-kira 500 pemain industri udang kara air tawar tetapi hanya 50 yang benar-benar serius. Di Singapura saja, saya difahamkan permintaannya mencecah 20 tan seminggu manakala di Hong Kong mereka boleh ambil berapa banyak sekali pun yang ada.
“Dalam permintaan yang cukup besar itu, kita tak mampu untuk memenuhinya walaupun untuk kadar 50 peratus. Jadi saya sudah minta LPP Kedah untuk kenal pasti anak-anak muda yang mungkin berminat untuk menceburi industri ini, sebelum bekerjasama dengan pemain industri dalam bidang ini,” katanya.
Terdahulu, Mahfuz mengadakan lawatan ke Ladang Udang Kara Air Tawar Arbaah yang merupakan pusat pembenihan udang kara air tawar terbesar di Malaysia di Kampung Durian di sini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Arbaah Sdn. Bhd. Muhammad Firdaus Osman berkata, ladang itu mampu menghasilkan empat tan udang kara air tawar sebulan.
“Angka itu bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding permintaan kerana kami sendiri mendapat tempahan dari Singapura untuk membekalkan 20 tan udang sebulan,” katanya.
Tambahnya, Arbaah turut menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi menghasilkan inovasi dalam bidang penternakan udang tersebut.
“Kami berhasrat menjadikan bidang penternakan udang ini lebih menarik dalam kalangan anak muda dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.- UTUSAN