PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mahu memberi fokus kepada pemain sedia ada dalam skuad Harimau Malaya berbanding ‘bermimpi’ untuk mendapatkan pemain warisan dari luar negara.
Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, beliau enggan memasang impian terlalu tinggi selagi pemain-pemain warisan yang diperkatakan di media sosial itu belum sah 100 peratus boleh mewakili skuad Harimau Malaya.
“Kita ada senarai panjang nama pemain warisan yang memiliki pilihan untuk beraksi dengan Malaysia.
Namun, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk saya komen mengenai peribadi mereka.
“Sekiranya sudah pasti nanti, barulah saya akan bercakap mengenai mereka. Cuma, saya boleh sahkan bahawa kami sentiasa meneliti dan mencari pilihan (pemain warisan) sekiranya ada untuk wakili Harimau Malaya.
“Buat masa sekarang, lebih baik kita fokus dengan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk mengharungi Pestabola Merdeka kali ini,” kata bekas pengendali skuad remaja Barcelona itu.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl berpotensi besar untuk memperkuat skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Hamidin berkata, Deijl yang ketika ini beraksi bersama Go Ahead Eagles di Eredivisie menghubungi Vicente dan sudah menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bersama skuad Harimau Malaya.
Sementara itu, Wan Kuzain pula terlepas untuk mewakili Harimau Malaya di pestabola Merdeka 2024 kerana pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) berdepan kecederaan.-UTUSAN