PETALING JAYA: Pas menyifatkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti peribahasa Melayu ‘melepaskan anjing tersepit’ kerana melupakan segala jasa parti itu kepada PKR termasuk dirinya yang memberikan peluang bertanding di Parlimen Machang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, di bawah kepemimpinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, PKR dan Saifuddin menumpang kasih dan bekerjasama sekali gus PKR memenangi banyak kerusi pilihan raya.
Tuan Ibrahim kemudiannya mengenangkan beberapa detik kejayaan PKR di atas usaha kejayaan Abdul Hadi sekali gus parti menguasai sebahagian kerusi Parlimen ketika era Pakatan Rakyat.
“Bahkan kejayaan Abdul Hadi bermula dengan menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu. Orang yang paling bertuah merasa sendiri kemenangan dalam pilihan raya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang Pas, parti yang dicerca oleh beliau hari ini.
“Dengan persetujuan Abdul Hadi, beliau diberi ruang bertanding dan memenangi Parlimen Machang pada 2008. Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa Tuan Guru (Abdul Hadi) atau mungkin juga Saifuddin perlu diingatkan bila mana Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden Pas dan Tan Sri Nik Aziz Nik Mat memohon agar beliau dibenarkan untuk membantu PKR satu masa dulu.
“Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya menggigit tangan mereka yang membantunya dahulu. Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan memohon agar beliau tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa melayu ‘seperti melepaskan anjing tersepit’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Saifuddin berkata, Pas hari ini telah menyimpang jauh dari perjuangan asal diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Prof. Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin Al Hilmi, Datuk Fadzil Mohd Noor dan Yusuf Rawa.
Katanya, Muktamar Tahunan ke-70 Pas yang berlangsung minggu lalu didakwa mencatat sejarah dan kemuncak politik kebencian parti itu yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam kalangan masyarakat.
Ia susulan kenyataan Abdul Hadi dalam ucapan dasar mendakwa pentadbiran kerajaan Perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.
Menurut Tuan Ibrahim, Pas sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab itu kerana sepanjang Muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh Presiden dalam ucapan dasar.
“Pas dalam muktamarnya sentiasa memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin dan pendokong reformasi turut memperjuangkannya. Saya yakin, kenyataan tidak beradab yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri ini tidak akan terhenti di sini,” katanya.
Namun Tuan Ibrahim menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat pilihan raya umum maka semakin mengelabah dan tidak keruan Saifuddin dan partinya.
“Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong.
“Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong Pas sehingga ke tahap ini, Alhamdulillah,” katanya. – UTUSAN