GEORGE TOWN : Paras air dua empangan di Pulau Pinang iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dilaporkan telah menunjukkan peningkatan susulan hujan lebat sejak awal bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, setakat hari ini, kapasiti efektif Empangan Air Itam telah mencapai 58.3 peratus manakala Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang pula masing-masing berada pada tahap 31.3 serta 90.3 peratus.
“Bagaimanapun rizab dua daripada tiga empangan ini iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam mesti mencapai paras yang jauh lebih tinggi sebelum musim kemarau akan datang.
“Dalam hal ini, kami tidak dapat meramalkan dengan tepat jumlah hujan yang akan turun di dua empangan ini dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Sehubungan itu, PBAPP juga ingin mengingatkan semua pengguna air di Pulau Pinang agar menggunakan air dengan berhemat walaupun hujan (telah turun),” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Pathmananthan berkata, sejak Februari lalu, PBAPP telah melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) untuk mempertahankan rizab airnya.
“Di bawah pelan ini, PBAPP telah mengepam sehingga 33 juta liter sehari (JLH) air terawat dari Loji
Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam,” katanya yang memberitahu, pelan tersebut meminimumkan pengeluaran harian dari empangan berkenaan dan mempercepatkan proses pengisian semula air
Tambah Pathmanathan, salah satu daripada misi utama PBAPP kini adalah untuk membolehkan pengisian semula
Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang secara optimum dilakukan dari September hingga Disember tahun ini.
“Ini sebagai persediaan menghadapi musim kemarau seterusnya di Pulau Pinang yang dijangka bermula dari bulan Januari 2025.
“Bergantung kepada jumlah hujan dan penggunaan air, adalah munasabah untuk kapasiti efektif Empangan Air Itam meningkat daripada 58.3 peratus hari ini kepada 85 peratus atau lebih menjelang Disember 2024,” katanya.
Patmanathan menjelaskan, bagi memastikan kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang meningkat daripada 31.3 peratus hari ini kepada 80 peratus atau lebih menjelang Disember 2024, sejumlah besar hujan diperlukan untuk tujuan itu
“Ini berikutan fakta bahawa kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,159 JL berbanding kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang iaitu 19,240 L jadi PBAPP akan terus melaksanakan AIDAP 2024 untuk mengisi semula empangan Air Itam dengan cepat,” katanya.-UTUSAN