PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mudah mengatasi cabaran wakil dari Taiwan, Lin Bing Wei-Lin Chih Chun untuk mara ke suku akhir Terbuka Hong Kong 2024, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Kowloon itu, beregu No. 40 dunia itu menewaskan Bing Wei-Chih Chun menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-15 dalam tempoh 30 minit.
Juara Cabaran Antarabangsa (IC) Malaysia 2023 itu seterusnya akan menentang pilihan pertama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau wakil Taiwan, Wu Hsuang Yi-Yang Chu Yun bagi penentuan ke separuh akhir.
Terdahulu, beregu negara itu mencipta kejutan selepas menewaskan juara Sukan Komanwel 2022, Terry Hee-Jessica Tan pada pusingan pertama, semalam.
Pang Ron-Su Yin dengan mudah mengatasi pasangan Singapura No. 14 dunia itu menerusi kemenangan straight set 21-17, 21-16. – UTUSAN