Palsukan tuntutan Perkeso: 33 direman termasuk tiga pakar tulang

Palsukan tuntutan Perkeso: 33 direman termasuk tiga pakar tulang

SEBAHAGIAN daripada 30 individu termasuk tiga doktor yang direman di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang berhubung kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso yang melibatkan kerugian sehingga RM2.1 juta.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tiga doktor pakar tulang serta 30 individu lain masing-masing direman antara satu hingga tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melibatkan kerugian sehingga RM2.1 juta.

Selain tiga doktor berkenaan, turut direman bagi membantu siasatan kes berkenaan ialah 30 individu lain termasuk seorang wanita yang terdiri daripada 19 pemohon tuntutan, lapan ejen serta tiga orang ‘runner’.

Perintah reman terhadap kesemua individu terbabit dikeluarkan oleh Majistret Nadratul Naim Mohd. Saidi di Mahkamah Majistret George Town, hari ini.

Difahamkan, dua daripada tiga doktor itu bertugas di dua buah hospital milik kerajaan, manakala seorang lagi doktor bertugas di sebuah hospital swasta. Ketiga-tiga hospital itu terletak di kawasan Bukit Mertajam dan Seberang Jaya.

Dalam pada itu, menurut sumber, pihak SPRM telah menjalankan operasi di negeri ini bermula pukul 5 pagi hingga 9 malam semalam dan kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 60 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang selepas diambil keterangan.

“Tiga orang doktor berkenaan yang masing-masing berusia 36, 50 dan 57 tahun itu dipercayai terlibat dalam penipuan pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso dan kegiatan ini dipercayai bermula pada 2017 hingga 2024 dengan jumlah kerugian sebanyak RM2.1 juta,” katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber yang sama, kebanyakan individu yang terlibat dalam kartel penipuan pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso itu ialah mereka yang bekerja dalam sektor swasta.

“Imbuhan dipercayai akan diberikan kepada pemohon sebanyak ’50-50′ kepada pihak yang terlibat bermula daripada doktor, ejen dan ‘runner’.

“Modus operandi kartel ini ialah pemohon akan mengemukakan tuntutan palsu melibatkan masalah kesihatan yang dialami pemohon, antara kecederaan yang kerap dikatakan dialami pemohon ialah slip disk dan ligamen krusiat anterior (ACL).

“Dipercayai, seorang doktor boleh mendapat imbuhan sehingga RM10,000 daripada seorang pemohon, namun, ia juga bergantung kepada jumlah tuntutan (yang dibuat),” ujar beliau.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya yang memberitahu, terdapat juga senario di mana pemohon tidak mempunyai apa-apa penyakit, namun, mereka tetap mengemukakan tuntutan palsu kepada pemohon.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN