PETALING JAYA: Atlet olahraga para negara, Muhammad Nazmi Nasri tidak berjaya menjelmakan kilauan pingat dalam acara akhir lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024, sebentar tadi.
Nazmi yang beraksi selaku pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Para Dunia di Jepun, Mei lalu sekadar menduduki tempat kelima dengan lompatan sejauh 6 meter (m) pada percubaan kedua.
Atlet berusia 21 tahun itu kehilangan momentumnya pada lompatan ketiga berikutan ianya dibatalkan sekali gus menyaksikan beliau cuba memperbaiki catatannya sehingga percubaan keenam.
Brian Lionel Impellizzeri dari Argentina merangkul emas dengan catatan 6.42m pada cubaan kedua sekali gus meninggalkan pencabarnya Samson Opiyo dari Kenya dengan catatan dengan 6.20m.
Pingat gangsa menyaksikan Mateus Evangelista Cardoso layak berada di podium selepas menamatkan saingan dengan catatan 6.20m.
Untuk rekod, Nazmi meraih emas pada kejohanan dunia dengan catatan 6.13m iaitu rekod peribadi terbaiknya setakat ini. – UTUSAN