ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain ‘mengangkat topi’ dan tabik kepada anak-anak buahnya yang disifatkan telah menunjukkan cinta mereka terhadap bola sepak dan negeri apabila sanggup memberikan aksi terbaik ketika menentang Sri Pahang FC, walaupun dihimpit 1,001 kepayahan di dalam dan luar padang.
Menurut Nafuzi, dia amat berbangga dengan sikap ditampilkan anak-anak buahnya yang menujukkan sikap luar biasa untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan itu.
Katanya, para pemain jelas tidak berada dalam kondisi terbaik apabila mereka sering tercedera dalam perlawanan tersebut namun tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah atau memberi laluan mudah kepada pasukan lawan.
“Saya bersyukur kami mendapat satu mata sangat berharga dan amat berterima kasih kepada para pemain yang membantu pasukan untuk turun beraksi malam ini. Dengan masalah dihadapi pasukan serta terhadnya persiapan dilakukan, saya boleh katakan ini komitmen yang begitu luar biasa ditampilkan mereka hingga kita pada satu ketika berjaya mendahului lawan.
“Secara jujurnya, tahap kecergasan anak-anak buah saya memang rendah dan kita jelas dapat melihat yang mereka sukar untuk bersaing dari aspek itu serta kekuatan dengan pemain Pahang. Semua itu memang boleh difahami kerana kami hanya berlatih enam hari saja pada bulan ini berikutan masalah yang melanda pasukan.
“Dalam perlawanan ini para pemain benar-benar menunjukkan yang mereka sayangkan pasukan serta Kedah. Sebab itu walaupun tunggakan gaji kami belum diselesaikan apa-apa, mereka sanggup juga turun beraksi dan memberikan 100 peratus komitmen,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan.
Mengulas lanjut Nafuzi berkata, dalam perlawanan itu pasukannya perlu bijak memainkan strategi kerana Sri Pahang jelas mengatasi mereka dari aspek kekuatan dan kecergasan fizikal.
“Kita tahu mereka baru saja menewaskan PDRM FC 5-1 minggu lalu dan itu menunjukkan betapa bagusnya mereka ketika ini. Maka kita tidak beraksi terlalu menekan di bahagian atas seperti selalu sebaliknya lebih banyak menanti di bahagian tengah agar tidak terperangkap dengan larian deras barisan penyerang Pahang.
“Alhamdulillah, taktik itu menjadi dengan para pemain bijak menanti masa sesuai melakukan serangan bagi membuat jaringan. Sejujurnya saya memang amat berpuas hati dengan persembahan ditampilkan,” katanya.
Ditanya mengenai jendela perpindahan kedua yang hampir tamat ketika ini, Nafuzi dalam nada pasrah mengakui bahawa peluang KDA FC untuk mendapatkan pemain baharu bagi memantapkan pasukan, sudah tertutup.
“Kita masih berdepan hukuman ‘transfer ban’ dan dengan pelbagai masalah dihadapi, saya boleh katakan bahawa peluang untuk mendapatkan pemain baharu bagi pasukan ini sudah tertutup.
“Namun selepas ini, saya harap tiada pihak lagi yang menyalahkan pemain dalam apa jua keadaan kerana hanya kami saja yang tahu masalahnya. Mereka perlukan sokongan daripada semua pihak dan saya sendiri, simpati dengan nasib pemain hinggakan kalau dapat melihat mereka turun berlatih pun, itu sudah menjadi satu kegembiraan buat saya,” katanya.-UTUSAN