MOM cadang kaedah baharu pemilihan atlet ke Sukan SEA

MOM cadang kaedah baharu pemilihan atlet ke Sukan SEA

KONTINJEN Malaysia yang beraksi di Sukan SEA edisi lalu di Kemboja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu kaedah baharu pemilihan atlet yang layak ke Sukan SEA 2025 di Thailand akan diperkenalkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha memastikan hanya yang terbaik bakal beraksi pada temasya dwi tahunan itu.

Nazifuddin Najib

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, buat masa ini, kaedah baharu itu masih lagi diperingkat cadangan dan pihaknya telahpun mengadakan perjumpaan dengan persatuan sukan terlibat.

“Kita berasakan lebih baik ada kelayakan untuk setiap sukan, jika dulu kita ada kategori A dan B yang mana kriteria yang kita gariskan tidak begitu menyeluruh.

“Jadi kita hendak setiap persatuan bincang balik dan dapatkan kriteria Sukan SEA yang mereka rasa terbaik dari segi merit untuk prestasi atlet dan ini kita akan bawa ke mesyuarat jawatankuasa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-210 yang dipengerusikan presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Wisma MOM,semalam.

Menurut Mohd Nazifuddin, setiap sukan mempunyai kriteria tersendiri dan pihaknya berhasrat untuk berkongsi dengan orang ramai bagaimana pemilihan atlet itu dibuat sebelum mereka ke Sukan SEA.

Jelas beliau, untuk kaedah baharu tersebut, setiap atlet perlu melalui proses kelayakan di mana ia bakal dilaksanakan enam bulan sebelum temasya tersebut.

“Kita tidak lagi bergantung kepada rekod pencapaian lalu contohnya atlet itu juara Sukan SEA atau Sukma (Sukan Malaysia), rekod ini mungkin dah terlalu lama, kita nak yang terkini jadi kita perlukan pencapaian yang terkini.

“Prestasi atlet itu akan dinilai berdasarkan kejohanan terdekat sebelum Sukan SEA dan dia kena capai kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Sukan SEA yang turut disertai oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” ujarnya.

Nazifuddin memberitahu, satu mesyuarat kriteria pemilihan akan dilaksanakan pada hujung tahun ini, sebelum mesyuarat pemilihan pertama dilakukan pada Januari tahun depan.

Tambahnya, mesyuarat pemilihan itu akan dibuat secara berperingkat sehingga Jun yang mana senarai panjang akan dikemukakan oleh persatuan sukan nanti.

“Inisiatif tersebut dibuat selepas meneliti kebanyakan negara jiran seperti Singapura yang telahpun melaksanakan kaedah demikian dan kita hendak bersikap lebih telus serta jelas supaya atlet tahu apa pencapaian yang diperlukan,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya