MHO sedia beri keterangan ahli politik didakwa terlibat sindiket pemerdagangan manusia - Utusan Malaysia

MHO sedia beri keterangan ahli politik didakwa terlibat sindiket pemerdagangan manusia

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sedia membantu pihak berkuasa sekiranya dipanggil berkaitan siasatan dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya setakat ini belum dihubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu terbabit.

“Kami belum dihubungi namun saya bersedia tampil memberi keterangan jika diperlukan bagi membantu siasatan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media kelmarin melaporkan PDRM sudah mengambil keterangan ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pasangan suami isteri terbabit diambil keterangan pada Julai lalu selepas artikel pertama berhubung kes berkenaan dilaporkan.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan buat masa ini siasatan masih diteruskan. Kita juga akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan berkaitan kes berkenaan.

“Kita akan mencari saksi yang terbabit dan pasangan suami isteri terbabit juga sudah diambil keterangan pada Julai lalu.

“Buat masa ini siasatan polis di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya.

Hishamuddin sebelum ini dilaporkan berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.

Katanya, ahli politik wanita itu adalah bekas ahli parlimen manakala suaminya adalah pesara kakitangan kerajaan.

Katanya, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia‘ yang diterbitkan di Indonesia.

Difahamkan ahli politik itu terbabit dalam sindiket berkenaan sejak Mac 2020 dan tular dalam media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr l. Mashitah Ibrahim menafikan  terbabit dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang dilaporkan media.

Menurutnya, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan di Indonesia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN