KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mendedahkan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran pingat emas berpunca dari campur tangan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika temasya berprestij itu berlangsung.
Presiden MPM, Datuk Megat Shahriman Zaharudin berkata campur tangan MSN menghalang pegawai MPM melaksanakan tugas mereka menjadi salah satu punca mereka sukar mencapai matlamat mereka.
“Kami gagal mencapai sasaran pingat kami kerana dua kem dalam kontinjen negara kami iaitu MPM dan MSN. Perkara ini telah berlaku sejak tiga edisi Paralimpik yang lalu dan saya tidak lagi boleh bertolak ansur dengan gangguan MSN.
“Kami tidak boleh terus bekerjasama dengan MSN kerana mereka sentiasa bertindak sesuka hati. Kegagalan kami di Paris juga harus dikaitkan dengan MSN kerana kami tidak boleh mempunyai dua kapten dalam satu kapal.
“Apabila ada kejayaan daripada kami, mereka mahu menempah nama, namun sekiranya kami gagal mereka mahu bersembunyi,” kata Megat.
Sementara itu, Megat turut meluahkan rasa kecewa apabila atlet para tidak dilayan sama rata seperti atlet Olimpik.
Menurutnya, beliau enggan menghantar mana-mana atlet untuk pasukan kebangsaan pada masa kelak sekiranya keadaan tidak berubah.
“Saya kecewa. Di sebalik usaha keras kami selama ini, tidak ada program khas seperti RTG (Road To Gold) untuk atlet paralimpik berbanding atlet yang mampu.
“Jika MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak bertanggungjawab, kita boleh menjauhkan diri daripada mereka dan menyertai temasya secara bebas dengan penaja korporat,” katanya.
MPM menyasarkan empat pingat emas di Paris namun pada akhirnya membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Untuk rekod, Malaysia mengekalkan rekod dengan membawa pulang tiga emas pada edisi di Rio 2016 dan Tokyo 2020. – UTUSAN