Maybank tempah slot ke perlawanan akhir MIHL 2024

Maybank tempah slot ke perlawanan akhir MIHL 2024

Maybank mara ke final selepas menewaskan ATM 3-1 pada separuh akhir MIHL 2024 di Pusat Sukan IOI Mall, Putrajaya, hari ini. - Ihsan MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Maybank mara ke final selepas membenam naib juara edisi 2022, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 pada separuh akhir Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) 2024 di Pusat Sukan IOI Mall, dekat sini, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Iman Gobinathan itu membuka jaringan menerusi Meor Muhamad Azuan Hasan pada minit ke-18 yang dihasilkannya melalui jaringan padang.

Selang lima minit selepas itu, pemain sama menyumbat gol kedua pasukannya juga melalui jaringan padang bagi meletakkan Maybank mendahului selesa 2-0.

Gawang ATM terus dirobek Maybank pada minit ke-25 untuk menjarakkan kedudukan 3-0 dan kali ini, Muhammad Najmi Farizal Jazlan bijak merembat kemas bola hasil pukulan sudut penalti.

ATM memperoleh gol sagu hati yang dihadiahkan oleh Mohammad Amirul Hanis Abdul Aziz pada minit ke-32.

Pengurus pasukan Maybank, Zamzam Mohamed Ali ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, ini kali pertama Maybank berjaya mara ke perlawanan akhir selepas edisi lalu pasukannya menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

“Sasaran kami untuk mara ke perlawanan akhir pada kali ini tercapai dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Dr. Nora Manaf yang menjadi penyokong kuat sehingga kami berjaya ke tahap ini.

“Sokongan Datuk Nora yang bertanggungjawab membangunkan pasukan hoki dalam dewan Maybank amat kami hargai dan kejayaan mara perlawanan akhir kami dedikasikan untuk beliau,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan mara ke final, beliau memberitahu, Maybank diperkuatkan dengan empat pemain kebangsaan yang merupakan kakitangan bank tersebut.

“Kehadiran mereka berjaya mengukuhkan pasukan kami, lagipun kami telah bermain bersama sejak 2019 dan persefahaman yang kami bina menjadi antara penyumbang kepada kejayaan mara ke perlawanan akhir,” ujarnya.

Maybank dijangka menghitung pertemuan sama ada menentang juara bertahan, DBKL HT ataupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan beraksi dalam satu lagi separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya