NEW YORK: Golongan mahasiswa di Universiti Columbia masih meneruskan aksi demonstrasi sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dengan meneruskan perkhemahan pro-Palestin sejak kelas disambung semula, semalam.
Rata-rata peserta protes bertindak berjemur dan menikmati ais krim di kawasan pekarangan tapak perhemahan pro-Palestin, malah ada juga melancarkan protes di luar kampus.
Golongan pelajar di fakulti lain pula merancang untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti apabila sesi pengajian baharu berlangsung.
Di luar pintu pagar universiti, sekumpulan kecil penunjuk perasaan berarak dan menggesa pelajar lain menyertai mereka daripada memasuki kelas.
“Selagi Columbia terus melabur dan mendapat manfaat daripada apartheid Israel, golongan pelajar akan terus menentang,” laung Mahmoud Khalil, seorang pelajar siswazah yang mewakili
penunjuk perasaan di kampus kepada AP.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, barisan kepemimpinan baharu universiti memulakan sesi pendengaran yang bertujuan untuk meredakan ketegangan, mengeluarkan laporan tentang antisemitisme kampus dan mengedarkan garis panduan bantahan baharu bagi mengehadkan gangguan.
Bagaimanapun, golongan pelajar tidak bersetuju dengan tindakan pihak universiti selagi pihak penadbiran tidak memutuskan hubungan dengan syarikat yang dikaitkan dengan Israel. -AP