LTdL 2024: Harrif harap pengalaman berbasikal trek membuahkan hasil

LTdL 2024: Harrif harap pengalaman berbasikal trek membuahkan hasil

PELUMBA pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Saleh pada sidang akhbar pra perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, di sini, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Saleh berharap pengalamannya dalam bidang berbasikal trek mampu menjadi faktor menambah ‘kelajuannya’ dalam carta keseluruhan kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang bermula esok.

Beliau yang bakal membuat penampilannya untuk kali ke-15 berkata, penyertaannya pada jelajah Poyang Lake 2024 di China baru-baru ini menjadi ‘pemanas badan’ untuk mempamerkan prestasi terbaik pada perlumbaan berprestij Asia berkenaan.

“Saya telah cuba memperbaiki dalam pecutan serta kelajuan saya. Ditambah dengan pengalaman saya di Jelajah Poyang Lake, saya berharap dapat mempamerkan prestasi yang baik di sini (LTdL 2024).

“Biarpun saya mengalami kemalangan di sana (China), namun saya tetap fokus dan teruskan latihan untuk mengekalkan motivasi di LTdL,” kata Harrif ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Pulau Langkawi, hari ini.

TSG berada dalam barisan 22 pasukan yang akan bersaing pada garisan permulaan esok dan kesemua pelumba akan mengharungi lapan peringkat perlumbaan dalam tempoh lapan hari yang akan bermula di Pulau Langkawi dan akan berakhir di Bintulu, Sarawak.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd Nur Aiman Zariff enggan melepaskan peluang untuk merebut Jersi Merah (Raja Bukit) pada saingan edisi ke-28 ini.

Pelumba berusia 26 tahun itu, tekad untuk menyarung semula jersi berkenaan untuk kali ketiga berikutan terpaksa melepaskannya kepada pelumba Switzerland, Simon Pellaud dari pasukan Tudor Pro Cycling, tahun lalu.

“Sudah tentu saya mempunyai keinginan dan mahu merebut Jersi Merah itu selepas gagal mempertahankannya tahun lepas. Bagaimanapun, saya tahu ianya tidak akan mudah untuk menjadi raja bukit kerana semuanya bergantung kepada strategi dan keadaan fizikal saya.

“Kadangkala ianya bergantung kepada nasib juga. Jika ianya menyebelahi saya, maka saya akan mendapat peluang itu. Justeru, saya enggan berharap terlalu tinggi untuk memenangi jersi berkenaan,” kata Aiman.

Aiman bersama Harrif, Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Rosli, dan pelumba import, Andreas Miltiadis serta Anatolli Budiak akan membarisi skuad TSG pada saingan LTdL 2024 ini.

Untuk rekod, Aiman memenangi Jersi Merah buat pertama kali pada tahun 2020 ketika berada di Pasukan Sapura Pro Cycling (kini Malaysia Pro Cycling) dan berjaya mempertahankan gelarannya pada edisi 2022 ketika bersama TSG. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN