SAN SIRO: Liverpool menghormati AC Milan namun itu bukan bermakna mereka tunduk takut apabila kedua-dua kelab gergasi eropah itu bertemu dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara di San Siro, kata jurulatih The Reds, Arne Slot.
Pada ketika peralihan Liverpool daripada era Jurgen Klopp tampak lancar apabila memulakan musim ini dengan tiga kemenangan liga tanpa bolos kini mereka berusaha untuk melupakan kekalahan mengejut 1-0 kepada Nottingham di Anfield pada Sabtu lalu.
Mengintai trofi eropah ketujuh, Liverpool berdepan Milan yang telah memenangi tujuh kali kejohanan tersebut namun kelab Itali itu tidak berada dalam keadaan terbaik apabila berada di pertengahan carta Serie A dengan lima mata daripada empat perlawanan.
“Saya fikir tiada mana-mana pengurus yang takut untuk bermain menentang pasukan lain tetapi kami mempunyai rasa hormat kepada AC Milan.
“Mereka mempunyai kualiti, kami tidak takut, tetapi kami menghormati semua pemain mereka. Mereka telah menunjukkan bahawa mereka dalam bentuk yang baik, dengan kemenangan 4-0 yang sangat baik (terhadap Venezia dalam aksi liga padaSabtu lalu).
“Takut bukanlah perkataan yang kami gunakan. Kami menghormati mereka,” kata Slot kepada wartawan menjelang perlawanan.
Pemain baru Liverpool, Federico Chiesa, mungkin tidak akan diturunkan menentang Milan, kata Slot sambil memuji penyerang Itali berusia 26 tahun itu.
Chiesa belum bermain untuk kelab Merseyside, setelah menyertai mereka pada jendela perpindahan musim panas dari gergasi Itali, Juventus.
“Kenapa kami membawanya…saya membawa masuk pemain berkualiti dan saya percaya dia adalah salah seorang daripada mereka. Dia menggabungkan kualiti dengan etika kerja dan budaya kelab ini, pasukan ini, dia membawanya dengan gabungan beberapa posisi.
“Dia bersama pasukan, dan sejak saya katakan ini adalah kali pertama dia di sini, adalah kejutan besar jika dia bermula esok…tetapi dia akan bermain beberapa minit jika kami memerlukannya.
“Dia telah menjalani beberapa latihan dan terlalu awal untuk bermain 90 minit, tetapi diharapkan beberapa minit dalam perlawanan akan dating,” kata Slot.
Dalam pada itu, penjaga gol Liverpool dari Brazil, Alisson Becker teruja untuk bermain dalam saingan Liga Juara-Juara apabila kelab kembali menyertai kejohanan selepas tidak menyertainya selama semusim.
“Bayangkan yang sesuatu yang kamu ingin lakukan dan kemudian kamu tidak dapat melakukannya selama setahun, jadi bagaimana perasaannya. Itulah yang kami rasakan,” kata Alisson. – AGENSI