LIVERPOOL: Penjaga gol Liverpool, Alisson dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Bayern Munich bagi menggantikan posisi tonggak kelab gergasi Jerman itu, Manuel Nuer.
Penjaga gol Brazil itu adalah pilihan utama di Anfield dan dia menikmati pelbagai kejayaan sepanjang bersama Liverpool.
Bagaimanapun, Bayern Munich kendalian bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Vincent Kompany berminat menandatangani Alisson.
Alisson yang kontraknya masih berbaki tiga tahun di Liverpool telah membuat penampilan sebanyak 269 kali untuk The Reds.
Bayern dilaporkan mula meragui keupayaan penjaga gol utamanya, Neuer, 38 yang dibelenggu masalah kecederaan sejak beberapa tahun lalu.
Alisson pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi dan Liverpool dikatakan sudah bersedia dengan kemungkinan itu.
Kehilangan Alisson akan memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Arne Slot yang kini mendahului Liga Perdana selepas enam perlawanan.
Liverpool sudah bersetuju menandatangani Giorgi Mamardashvili dari Valencia untuk musim depan.
Namun, Bayern sedar langkah mendapatkan Alisson dalam tempoh terdekat akan menelan belanja besar.
Sepanjang di Anfield, Alisson telah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga.
Masa depan Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk di Anfield juga masih samar dengan ketiga-tiga pemain itu memasuki tahun terakhir dalam kontrak masing-masing.- AGENSI