Lima negara adakan latihan maritim di Laut China Selatan

Lima negara adakan latihan maritim di Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Australia dan Filipina mengumumkan akan menjalankan latihan maritim bersama dengan Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) di zon ekonomi eksklusif Filipina, yang juga salah satu lokasi paling sensitif di Asia.

Kementerian Pertahanan Australia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerjasama maritim itu menunjukkan komitmen kolektif semua negara terlibat dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menyokong keamanan di wilayah Indo-Pasifik.

“Kapal tentera laut HMAS Sydney dan pesawat peronda maritim P-8A Poseidon dari Tentera Udara Diraja Australia akan terlibat sama dalam latihan ini,” jelas kenyataan itu.

Latihan bersama tersebut dibuat selepas beberapa siri pertembungan udara dan laut antara Filipina dan China di Laut China Selatan, termasuk di Beting Scarborough Shoal yang telah diduduki oleh pengawal pantai China selama lebih 10 tahun.

Rabu lalu, kapal tentera laut dari New Zealand dan Australia belayar melalui Selat Taiwan, sebahagian daripada Laut China Selatan, satu langkah yang menurut Kementerian Pertahanan Australia menunjukkan komitmen negara itu terhadap Indo-Pasifik yang terbuka, stabil, dan makmur.

China, yang menganggap Taiwan yang ditadbir secara demokratik sebagai miliknya, mengatakan hanya mereka yang mempunyai kedaulatan dan bidang kuasa ke atas selat tersebut.

Kedua-dua AS dan Taiwan menyatakan selat tersebut yang juga laluan perdagangan utama di mana kira-kira separuh daripada kapal kontena global berlayar, adalah perairan antarabangsa.

Australia pula secara konsisten mendesak China untuk menjaga keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan Selat Taiwan.

China mendakwa hampir semua wilayah maritim di Laut China Selatan sebagai miliknya, walaupun terdapat tuntutan bertindih oleh Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN