Libatkan lebih ramai wanita dalam industri logistik - Utusan Malaysia

Libatkan lebih ramai wanita dalam industri logistik

Wanita logistik
NANCY Shukri bersama pelatih pemandu wanita yang menerima sijil VIW pada Majlis Penyampaian Sijil Program VIW, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jurang jantina dalam sektor logistik termasuk berkaitan kerjaya sebagai pemandu kenderaan berat wajar dirapatkan bagi melibatkan lebih ramai golongan wanita menyertai bidang pekerjaan tersebut.

Walaupun sektor tersebut memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, namun itu tidak sepatutnya menjadi halangan kepada kaum wanita dengan mempersiapkan diri mereka untuk menyertai industri berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga kini tidak dinafikan keterlibatan golongan wanita sebagai pemandu dalam industri logistik, namun percaya ia perlu dibuka lebih luas kepada kaum itu.

“Malaysia menunjukkan kemajuan dalam usaha menghapuskan jurang jantina dalam pekerjaan, tetapi masih banyak perlu dilakukan. Industri logistik, terutama pemandu kenderaan berat sebelum ini dilihat sangat penting sebagai barisan depan ekonomi.

“Situasi itu menunjukkan lebih ramai kaum wanita boleh dilatih untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan tenaga mahir dalam industri,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Program Volvo Iron Women (VIW), hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau meraikan lima pemandu wanita yang menamatkan latihan menerusi program diusahakan oleh Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks).

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bangga dapat bekerjasama dengan Volvo Trucks Malaysia dalam program VIW yang menyediakan latihan kemahiran serta sokongan kesihatan mental kepada wanita dalam sektor yang lazim didominasi oleh lelaki.

“Komitmen kami untuk terus menyokong kaum wanita mesti menjangkaui program tersebut bagi memastikan mereka dapat melalui transisi sektor ekonomi baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy memberitahu, pemerkasaan wanita dalam sektor pekerjaan memberi kesan signifikan kepada ekonomi apabila keterlibatan golongan itu diunjurkan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM6 bilion pada 2025.

“Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri pada Julai tahun lalu menyasarkan peningkatan tenaga kerja wanita sehingga 60 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Antaranya hendak menggalakkan wanita untuk kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya seperti (melahirkan anak atau jaga orang sakit) dengan memberikan lanjutan tempoh pemberian insentif cukai sehingga 31 Disember 2027,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan turut memberikan pengecualian cukai antara RM2,400 hingga RM3,000 kepada majikan yang memberikan elaun penjagaan anak sebagai sokongan kebajikan kepada wanita di tempat kerja.

Sementara itu, Naib Presiden Volvo Trucks International, Johan Selven memaklumkan, program VIW berjaya dianjurkan di peringkat Asia Tenggara dan Malaysia merupakan negara perintis dengan lima pemandu tugas berat diraikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya