Lelaki warga asing dipercayai terlibat sindiket seludup hidupan liar bernilai RM1.81 juta - Utusan Malaysia

Lelaki warga asing dipercayai terlibat sindiket seludup hidupan liar bernilai RM1.81 juta

ANTARA hidupan liar dirampas polis daripada sindiket penyeludupan di KLIA semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket yang menyeludup masuk 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis Indian Eyed Turtle dianggarkan bernilai RM1.81 juta dalam serbuan di ibu negara semalam.

Serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan oleh sepasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Pemangku Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dalam serbuan tersebut, pihak polis turut menahan seorang suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an.

Katanya, berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesies hidupan liar tersebut dari sebuah negara di Asia Selatan melalui laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Siasatan mendapati harga jualan di pasaran gelap bagi seekor anak buaya julung-julung ialah RM60,000 seekor, manakala kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1,350 (seekor).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 68(1) dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes sedemikian adalah jarang berlaku dan spesies yang dirampas mempunyai nilai tinggi selain melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar di peringkat antarabangsa.

“Dipercayai hidupan liar ini dibawa masuk ke dalam negara sebagai transit sebelum dibawa ke negara lain,” ujarnya.
Tambah Mohd. Yusoff, setakat 17 September lalu, WCB/PSK telah melaksanakan 135 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan 384 orang serta rampasan bernilai RM420 juta.

“Pelbagai kesalahan direkodkan iaitu melibatkan penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar,” katanya.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan.

“Orang ramai dialukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar kepada pihak WCB/PSK JKDNKA melalui emel wcbpsk_rmp.gov.my,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN