Lelaki tetak bapa guna pisau pemotong daging diperintah bela diri  - Utusan Malaysia

Lelaki tetak bapa guna pisau pemotong daging diperintah bela diri 

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Mahkamah Rayuan memerintahkan seorang lelaki membela diri terhadap pertuduhan membunuh bapa kandung dengan menetaknya menggunakan pisau pemotong daging.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jamil Tawasil, 39, daripada pertuduhan berkenaan di akhir kes pendakwaan.

Pada November 2023, Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Wendy Ooi Su Ghee membebaskan Jamil selepas berpuas hati tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian dan tidak berupaya mengetahui perbuatannya itu berlawanan dengan undang-undang.

Keterangan kes turut menyatakan, Jamil dilihat duduk dalam biliknya sambil menghisap rokok ketika polis tiba di rumah berkenaan malah apabila ditanya polis, tertuduh memberitahu tidak tahu apa-apa kerana sedang tidur dalam bilik.

Mahkamah berpendirian, dia tidak waras kerana lelaki itu bukan sahaja tidak melarikan diri, malah tidak bertindak melupuskan pisau pemotong daging dan kayu yang digunakannya. 

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila  membebaskan responden (Jamil) tanpa memanggilnya membela diri.

“Setelah mendengar hujahan peguam dan timbalan pendakwa raya, kami dapati bahawa berdasarkan kepada keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, satu kes prima facie telah wujud dalam kes ini. 

“Pada pandangan kami, laporan psikiatri responden (D46) tidak mencukupi bagi menunjukkan dia mengalami gangguan mental di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan yang mana pihak pendakwaan tidak berpeluang mencabar laporan itu.

“Oleh itu, rayuan perayu dibenarkan dan responden diperintah membela diri. Kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan di hadapan pesuruhjaya kehakiman sama,” ujar beliau.

Hakim Ahmad Zaidi yang turut bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin kemudian menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Wendy Ooi ketika membebaskan Jamil  memerintahkannya diletakkan di bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama yang diperkenankan Sultan Selangor.

Mengikut pertuduhan, Jamil didakwa membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini, antara pukul 11 malam dan 11.15 malam, 9 November 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membebaskan responden daripada tuduhan membunuh di akhir kes pendakwaan.

“Hakim bicara telah menggunapakai laporan psikiatri oleh pakar psikiatri Dr. Saramah Mohd. Isa dan membebaskan perayu. 

“Pihak pendakwaan sepatutnya diberi peluang untuk menyoal doktor berkenaan mengenai laporan psikiatri yang menyatakan perayu menghidap skizofrenia dan pernah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan di Hospital Kajang,” hujahnya.  

Pada prosiding hari ini, Jamil diwakili peguam Gurbachan Singh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN